MANCHESTER, United Kingdom: Manchester United bakal bertandang ke gelanggang musuh tradisi, Leeds United pada Ahad ini ketika tekanan terhadap pengendalinya, Michael Carrick semakin memuncak, manakala Manchester City berusaha meneruskan permulaan sempurna mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun masa depan kelab itu masih diselubungi ketidaktentuan.
Brighton mungkin menjadi antara pasukan yang mendapat manfaat terbesar sekiranya City dikenakan hukuman berat susulan pelanggaran peraturan kewangan.
Brighton kini berada pada prestasi cemerlang, hanya dua mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga kedua, menjelang pertembungan seteru mereka menentang Crystal Palace.
AFP Sport meninjau beberapa aksi tumpuan EPL hujung minggu ini.
Permulaan terburuk Man Utd dalam tempoh 40 tahun
United mencatatkan permulaan liga terburuk dalam tempoh 40 tahun, dengan keadaan kelab semakin bergolak selepas pertahanan Lisandro Martinez mengkritik pengurusan tertinggi berhubung kekurangan pelaburan dalam skuad susulan kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid pada Selasa.

Pemain antarabangsa Argentina itu menyasarkan kritikan terhadap pengarah teknikal, Jason Wilcox selepas urusan perpindahan utama United pada musim panas lalu lebih tertumpu kepada usaha mendapatkan tiga pemain tengah.
Bagaimanapun, Martinez sendiri turut dipersalahkan atas prestasi buruk pasukan selepas terlibat dalam beberapa kesilapan yang membawa kepada gol ketika menentang Fulham dan Tottenham sejak beberapa minggu lalu.
United hanya mencatatkan satu kemenangan daripada enam perlawanan pembukaan liga, selain tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas kepada Brighton.
Leeds kali terakhir menewaskan United di Elland Road pada 2002, namun berjaya memberikan satu-satunya kekalahan di laman sendiri kepada Carrick sepanjang tempohnya sebagai pengendali sementara musim lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu pada April.
Carrick kini berdepan tekanan yang semakin meningkat sebagai pengendali terbaharu yang bergelut untuk memulihkan kemerosotan United sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013.

Bagaimanapun, Carrick percaya suasana panas yang bakal dihadapi pasukannya di Leeds merupakan peluang terbaik untuk United bangkit.
“Perlawanan Ahad ini sesuatu yang hebat untuk kami persiapkan. Ia perlawanan yang cukup istimewa buat pasukan, kelab, sejarah dan penyokong.
“Segala-galanya mengenai perlawanan ini cukup menarik, jadi kami akan bersedia menghadapinya,” kata Carrick.
Kes Man City cetus ketidaktentuan liga
Manchester City kini selesa di puncak liga selepas memenangi kesemua enam perlawanan pembukaan, namun pencapaian itu mungkin tidak membawa sebarang makna sekiranya mereka gagal membatalkan keputusan bersalah terhadap lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan EPL.
Skuad kendalian Enzo Maresca berjaya mengetepikan gangguan tersebut untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Liverpool hujung minggu lalu.
Mereka turut mempamerkan kebangkitan memberangsangkan pada separuh masa kedua meskipun tewas 2-4 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi mendebarkan Liga Juara-Juara pada Selasa.

Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai masa depan City turut menyebabkan keseluruhan liga berada dalam keadaan tidak menentu.
City menafikan sebarang salah laku, manakala kes yang berlarutan sejak sekian lama itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi sebelum proses rayuan selesai dan kemungkinan hukuman diumumkan.
“Pandangan asas saya ialah semua ini tidak baik untuk bola sepak dan tiada pihak yang akan mendapat manfaat,” kata bekas pengendali England, Gareth Southgate.
City berpeluang melebarkan kelebihan di puncak liga kepada enam mata apabila menerima kunjungan Ipswich di Stadium Etihad pada Sabtu, manakala Arsenal hanya akan beraksi 24 jam kemudian menentang Nottingham Forest.
Brighton sasar Liga Juara-Juara
Satu-satunya kekalahan Arsenal musim ini hadir ketika dibelasah Brighton 0-3, dengan pasukan itu kini berpeluang mencapai kejayaan lebih besar susulan prestasi tidak menentu beberapa kelab gergasi.
Brighton berjaya melonjak daripada liga bawahan ke pentas Eropah hasil kepakaran pemiliknya, Tony Bloom dalam analisis data.
Bagaimanapun, mereka masih belum pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.
Walaupun sering menjual pemain utama kepada kelab yang mempunyai kemampuan kewangan lebih besar, strategi bijak Brighton dalam mendapatkan pemain dan jurulatih baharu membolehkan mereka terus bersaing pada tahap tinggi.
Pendekatan itu turut menjadikan Brighton antara pasukan yang digemari penyokong berkecuali.
Namun, pengendalinya, Fabian Hurzeler mahu anak buahnya mempamerkan sikap lebih agresif dan tidak berkompromi ketika berdepan musuh tradisi, Crystal Palace pada Ahad.
“Kami mahu bermain tanpa belas kasihan. Kami mahu mewujudkan suasana penuh semangat yang menjadikan gelanggang ini tempat yang amat sukar untuk pasukan lawan beraksi.
“Kami perlu terus membina kekuatan ini bersama penyokong dan tidak lagi menjadi kelab bola sepak yang terlalu berlembut,” kata Hurzeler. – AFP




