PETRA JAYA, 16 Oktober: Penyerahan rasmi Jalan Jiwa Murni yang menghubungkan Kapit, Baleh, Merit dan Belaga perlu dipercepat bagi membolehkan kerja menaik taraf, penyelenggaraan dan penambahbaikan keselamatan jalan dilaksanakan segera.

Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata, keadaan jalan sedia ada masih menimbulkan kebimbangan keselamatan susulan kejadian kemalangan yang kerap berlaku, termasuk insiden yang mengorbankan nyawa.
Beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pertahanan mempercepat proses penyerahan rasmi jalan berkenaan supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Ini bukan sekadar soal prosedur pentadbiran. Ini soal keselamatan awam.
“Hubungan jalan raya memang penting, tetapi keselamatan pengguna tidak boleh dikompromi.
Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih banyak nyawa terkorban sebelum penambahbaikan yang diperlukan dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, laluan sepanjang 60 kilometer dari Baleh ke Merit dan 130 kilometer dari Merit ke Belaga telah meningkatkan hubungan jalan raya serta membuka peluang sosioekonomi kepada penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau turut meminta kerajaan Sarawak bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepat proses penyerahan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Wilson menegaskan keperluan memberi keutamaan kepada kesinambungan hubungan jalan raya dari Nanga Pelagus melalui Merit, Anap dan Sangan hingga ke Bintulu.
Katanya, laluan berkenaan wajar dilihat sebagai koridor ekonomi strategik yang menghubungkan Kapit dan kawasan pedalaman Sarawak dengan kemudahan perindustrian serta pelabuhan di Bintulu.
Beliau berkata, hubungan jalan raya yang lebih baik berpotensi mengurangkan kekangan logistik, memperluas akses pasaran, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.
“Jalan raya bukan sekadar konkrit, asfalt dan jambatan. Jalan raya ialah pemangkin ekonomi yang menghubungkan petani dengan pasaran, perniagaan dengan pelabur dan masyarakat luar bandar dengan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya koridor ekonomi berkenaan diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan dan peruntukan belanjawan akan datang, disokong strategi pelaksanaan yang jelas serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
Selain itu, beliau meminta peruntukan bagi beberapa projek jalan di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), termasuk fasa kedua Jalan Jambatan Baleh–Pelagus Resort, Jalan Rumah Taing–Jalan Pembalakan Sedia Ada di kawasan Sungai Sut dan Jalan Sungai Bena dari Rumah Undi ke arah Rumah Ai, Antawau Bena, dipercepat bagi memastikan rangkaian jalan berkenaan bersambung sepenuhnya.
Beliau turut menyambut baik kemajuan projek jalan sepanjang 17.3 kilometer dari Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus, yang menurutnya hampir siap.
Dalam aspek pembangunan luar bandar, Wilson berkata, Belanjawan Sarawak 2027 memperuntukkan RM6.4 bilion bagi pembangunan luar bandar, selain RM742 juta untuk jalan raya dan jambatan di seluruh negeri.
Beliau berharap peruntukan berkenaan dapat diterjemahkan kepada projek yang siap mengikut jadual serta meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang ekonomi.
Oleh Shahrul Qaizat





