KUCHING, 16 Oktober: Beberapa penghadang jalan berwarna merah putih di tapak pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dilihat terapung susulan kenaikan paras air akibat hujan lebat di Kuching petang tadi, malah ada yang hanyut ke tengah jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, George Lam, menggesa Sarawak Metro Sdn Bhd memperketatkan pemantauan terhadap kontraktor serta memastikan semua langkah keselamatan jalan raya dilaksanakan dengan sewajarnya bagi melindungi pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai dan melihat hantaran di media sosial yang mengetengahkan kejadian berkenaan.
Tapak pembinaan yang terjejas di sepanjang Jalan Batu Lintang dan Jalan Wan Alwi berada di bawah tanggungjawab kontraktor Laluan Biru KUTS. Bagaimanapun, kejadian penghadang jalan terapung ketika hujan lebat dan banjir dilaporkan berulang kali berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan jalan raya.
“Ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Penghadang merah putih berkenaan nampaknya tidak diberikan pemberat yang mencukupi, sama ada menggunakan air atau pasir, menyebabkan ia terapung apabila paras air meningkat lalu hanyut ke tengah jalan.
“Keadaan ini menimbulkan bahaya serius kepada pemandu yang mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk bertindak balas terhadap halangan yang muncul secara tiba-tiba di jalan raya,” katanya.
Lam turut melahirkan kebimbangan terhadap kejadian banjir kilat di sepanjang Jalan Batu Lintang. Beliau berkata, kawasan berkenaan jarang mengalami banjir kilat sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebelum kerja-kerja pembinaan KUTS dimulakan di sepanjang laluan tersebut.
Beliau menggesa kontraktor menyemak semula sistem perparitan sedia ada dan menyiasat sama ada aktiviti pembinaan telah menjejaskan kapasiti saliran sehingga menyumbang kepada kejadian banjir.
“Banjir kilat sudah cukup untuk mengganggu kelancaran lalu lintas dan membahayakan pengguna jalan raya. Apabila penghadang yang terapung turut berada di tengah jalan, gabungan kedua-dua keadaan ini semakin menjejaskan keselamatan orang ramai.
“Sarawak Metro dan kontraktor yang terlibat mesti memandang serius isu ini, menyemak semula pengaturan pembinaan serta langkah pengurusan saliran, dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera,” katanya.
Lam menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan bukan bertujuan menentang pembangunan infrastruktur, sebaliknya menuntut pihak berkuasa dan kontraktor berkaitan meminimumkan gangguan terhadap pengguna jalan raya serta penduduk berhampiran sepanjang tempoh pembinaan.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya mesti dipatuhi dengan keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan.
“Permintaan orang ramai sebenarnya mudah sahaja: utamakan keselamatan.
“Kontraktor mesti memastikan semua penghadang jalan merah putih dipasang dengan kukuh atau diberikan pemberat yang mencukupi supaya tidak terapung dan hanyut ke tengah jalan ketika banjir, sekali gus membahayakan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Lam turut menggesa Sarawak Metro menguatkuasakan piawaian keselamatan yang lebih ketat dan memperkukuh pemantauan terhadap kontraktor. Beliau juga meminta pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap penghadang jalan sementara, pengurusan lalu lintas dan sistem perparitan di tapak pembinaan yang terjejas bagi memastikan semua langkah keselamatan dilaksanakan dengan sempurna.
“Pembangunan infrastruktur sepatutnya meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak sepatutnya. Sarawak Metro dan kontraktornya mesti bertanggungjawab serta memastikan jalan raya kita kekal selamat untuk semua, walaupun ketika hujan lebat,” katanya.
Oleh Connie Chieng




