PETRA JAYA, 16 Oktober: Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga lima petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM500,000.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban waris yang kehilangan insan tersayang, selain menghargai jasa dan pengorbanan mangsa ketika berkhidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, pemberian bantuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan Sarawak yang diumumkan sebelum ini, walaupun kehilangan ahli keluarga tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
“Seperti yang telah saya janjikan, kita memberikan sedikit bantuan kepada waris mangsa. Namun, kehilangan ahli keluarga adalah sesuatu yang lebih besar dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
“Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Waris Mangsa Nahas Helikopter FDS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak turut disampaikan bagi membantu memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa.
Lima waris yang menerima sumbangan ialah Nor Izzati Syamimi Suhaimi, Larry Bilong Kule, Mohd Faiz Ab Malek, John Then Hua Ken dan Stephanie Essah Incham.
Mereka masing-masing merupakan pasangan kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, mendiang Jessie Paya Jok, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Debra Moset dan mendiang Alexson Adit Henry.
Sementara itu, kelima-lima mangsa turut dianugerahkan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober lalu.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.
Oleh Norman B




