DUN: Liputan internet Kota Sentosa 98.5 peratus

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA, 16 Oktober: Liputan internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata, liputan internet seluruh Sarawak pula mencatatkan 94.5 peratus.

Beliau berkata, antara inisiatif untuk menangani kawasan yang mengalami masalah liputan ialah pelaksanaan Fasa 2 Inisiatif Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baharu serta penyediaan penyelesaian internet berasaskan satelit di luar grid di 337 lokasi.

“Projek ini kini berada pada peringkat tender dan dijangka bermula pada suku pertama 2027,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Menjawab soalan mengenai keberkesanan infrastruktur Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) dalam menangani jurang kesalinghubungan di kawasan luar bandar, Liwan berkata rangkaian sedia ada yang menggunakan menara telekomunikasi sedia ada dan menara SMART baharu telah membantu meluaskan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar tetap kepada komuniti luar bandar.

Katanya, teknologi itu membolehkan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman menikmati akses internet berkelajuan tinggi, khususnya di lokasi yang sukar mendapat sambungan talian tetap konvensional.

Beliau berkata, sebanyak 618 menara Telekomunikasi Luar Bandar Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMART) dan 196 menara telekomunikasi lain kini menyediakan sambungan melalui perkhidmatan MySRBN.

Perkhidmatan itu turut dilengkapi sambungan gentian optik berkelajuan tinggi terus ke rumah (FTTH) menerusi MySRBN XL dengan memanfaatkan infrastruktur pusat kehadiran (PoP).

Oleh Shikin Mahmud