PETRA JAYA, 16 Oktober: Pembinaan menara telekomunikasi baharu dan penyediaan kemudahan internet berasaskan satelit di 337 lokasi dijangka bermula pada suku pertama 2027 menerusi inisiatif Fasa Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha menangani kawasan yang mengalami masalah liputan telekomunikasi di Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan kini berada pada peringkat tender.
“Setakat Disember 2025, liputan internet Sarawak berdasarkan kawasan penempatan mencapai 94.5 peratus melalui 4,696 menara telekomunikasi.
“Bagi kawasan luar bandar, sebanyak 618 menara Telekomunikasi Luar Bandar Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMART) dan 196 menara telekomunikasi lain menyediakan sambungan melalui perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).
Liputan itu turut dilengkapi sambungan gentian optik berkelajuan tinggi terus ke rumah menerusi MySRBN XL dengan menggunakan infrastruktur pusat kehadiran (PoP).
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) mengenai tindakan menangani kawasan tanpa liputan telekomunikasi serta perancangan pelaksanaan Fasa 2 Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Oleh Shikin Mahmud




