KUCHING, 16 Oktober: Kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dijemput untuk menyerlahkan kreativiti dan bakat bercerita menerusi Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris Bright Bloom 2026 yang akan berlangsung pada 25 Oktober 2026 (Ahad) di Vivacity Megamall, Kuching.
Pertandingan bertemakan ‘Kasih Sayang dan Kebaikan’ itu dianjurkan oleh Persatuan Penggerak Pembangunan Holistik Komuniti Miri (MCHDA).
Bright Bloom 2026 bertujuan menyediakan platform yang positif dan menyokong kanak-kanak untuk meluahkan idea, membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran komunikasi melalui penceritaan dalam Bahasa Inggeris.
Peserta juga berpeluang mengembangkan kreativiti, suara dan ekspresi, bahasa tubuh, penampilan pentas serta keupayaan berinteraksi dengan penonton sambil menyampaikan nilai-nilai positif melalui cerita mereka.
Pengerusi Penganjur Bright Bloom 2026, Linda Yeo berkata, “Setiap kanak-kanak mempunyai cerita yang wajar dikongsikan. Melalui Bright Bloom, kami berharap dapat memberi mereka peluang untuk tampil di atas pentas, mengekspresikan kreativiti serta membina keyakinan untuk memperdengarkan suara mereka.”
Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 1 bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun dan Kategori 2 bagi mereka yang berusia 10 hingga 12 tahun.
Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM300, diikuti Naib Juara RM200 dan tempat ketiga RM100, berserta trofi dan sijil.
Dua hadiah sagu hati serta Anugerah Pencerita Paling Kreatif turut disediakan, manakala setiap peserta akan menerima beg cenderamata dan sijil penyertaan.
Pertandingan akan berlangsung dari 2.00 petang hingga 5.00 petang dengan yuran penyertaan sebanyak RM20 seorang. Ibu bapa yang berminat boleh mendaftarkan anak mereka dengan mengimbas kod QR pada poster acara.
MCHDA menggalakkan pembangunan holistik individu dan komuniti menerusi program yang menyokong perkembangan diri, kesejahteraan dan hubungan komuniti.
Untuk pendaftaran dan pertanyaan lanjut, sila hubungi Christina di 0123103876.
Oleh Connie Chieng





