PETRA JAYA, 16 Oktober: Pemberian khas interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sarawak masih belum menjadi penyelesaian muktamad bagi semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerajaan Sarawak telah mengemukakan cadangan formula yang jelas dan konsisten bagi menentukan kadar pemberian khas untuk jangka panjang.
Menurutnya, cadangan itu masih dalam perbincangan antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan dan belum ada formula muktamad yang dipersetujui.
Pada 16 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan pemberian khas interim kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

Beliau turut menyatakan rundingan akan diteruskan bagi memuktamadkan formula yang mampan untuk menentukan kadar pemberian khas tahunan.
Mengenai tuntutan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, Sharifah Hasidah berkata, kerajaan Sarawak kekal dengan pendirian bahawa perwakilan kedua-dua wilayah itu perlu mencerminkan semangat dan asas pembentukan Malaysia pada 1963.
Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 11 September lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip supaya nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat ditingkatkan daripada kedudukan semasa.
Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaannya, termasuk jumlah kerusi dan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diperlukan, masih perlu diperhalusi.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bagi menyelesaikan perkara yang masih belum dimuktamadkan.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Royston Valentine (GPS-Tellian) mengenai status usaha mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63, termasuk pemberian khas interim RM1.5 bilion dan tuntutan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Oleh Shikin Mahmud




