PETRA JAYA, 16 Oktober: Peruntukan RM11 juta disediakan bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa, Betong.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu melibatkan kawasan nipah seluas 14.6 hektar, termasuk 4.3 hektar yang dibangunkan sebagai ladang.
Menurutnya, pembinaan CPPC Gula Apong yang bermula pada 16 Mac lalu dijangka siap pada September 2027 dengan tempoh kontrak selama 18 bulan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Abdul Rahman berkata, projek berkenaan menerapkan konsep Agropark yang menggabungkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk pertanian bagi meningkatkan nilai ekonomi hasil tempatan.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memperkukuh industri gula apong melalui peningkatan bekalan nira, pemodenan pemprosesan serta pembangunan usahawan dan pemasaran produk.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM700,000 bagi pembelian mesin dan peralatan pemprosesan menerusi Projek Pembangunan Usahawan Sagu dan Nipah di kawasan Beting Maro.
Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah untuk Kelestarian Bekalan Nira yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB).
Peruntukan berkenaan disediakan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut Abdul Rahman, pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pengeluaran, nilai tambah produk serta pendapatan masyarakat setempat, khususnya pengusaha industri berasaskan nipah.
Oleh Norman B




