Polis tahan suspek kes pecah masuk dan curi wang tunai RM4,700 di Bau

Facebook
WhatsApp
SUSPEK yang berjaya ditahan kerana disyaki memecah masuk premis dan mencuri wang tunai di Pekan Bau.

BAU, 15 Oktober: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes pecah masuk dan curi wang tunai berjumlah RM4,700 dari sebuah premis perniagaan di Pekan Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata kes itu dilaporkan pada 6 Oktober selepas pengadu mendapati wang hasil jualan yang disimpan di dalam laci kaunter juruwang telah hilang.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah memasuki premis melalui pintu belakang pada waktu malam. Suspek dipercayai mematikan sistem CCTV sebelum menuju ke kaunter juruwang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau berjaya menahan suspek kira-kira 1.35 petang hari ini.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan. Suspek juga dipercayai melarikan diri ke kawasan MJC, Batu Kawa selama kira-kira seminggu bagi mengelakkan dirinya dikesan pihak polis,” katanya.

Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dalam operasi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri dalam bangunan dan pencerobohan jenayah.

Suspek dijadual dibawa ke Mahkamah Majistret Bau esok bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatannya dalam kes-kes lain.

Mohd Haide menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya memastikan semua pintu masuk dikunci dengan sempurna, memasang sistem keselamatan yang bersesuaian serta mengelakkan daripada meninggalkan wang tunai dalam jumlah yang besar tanpa kawalan di premis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta tampil membantu pihak polis atau menghubungi IPD Bau untuk menyalurkan maklumat.

Oleh Connie Chieng