MUKAH, 15 Oktober: Hasrat seorang lelaki warga emas untuk memenangi sebuah kereta Honda HR-V dan wang tunai RM100,000 bertukar menjadi kerugian apabila dia dipercayai menjadi mangsa penipuan peraduan dalam talian sehingga kehilangan RM1,300.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, mangsa yang berusia 61 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pembinaan di Daerah Mukah mula tertarik dengan iklan peraduan yang disiarkan di platform Facebook pada 9 Oktober lalu, kira-kira 6.00 petang.
“Iklan berkenaan menawarkan hadiah sebuah kereta Honda HR-V serta wang tunai berjumlah RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan dalam iklan tersebut dan mengikuti arahan yang diberikan.
“Selepas memenuhi syarat permainan berkenaan, mangsa dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa dirinya merupakan pemenang bertuah dan berjaya memenangi sebuah kereta Honda HR-V.
Mangsa turut diminta memberikan gambar kad pengenalan serta gambar rumah kononnya bagi tujuan penghantaran hadiah,” ujarnya.
Bagaimanapun kata DSP Muhamad Rizal lagi, tawaran yang pada awalnya kelihatan menguntungkan itu mula menimbulkan kerugian apabila mangsa diminta membayar RM1,300 sebagai kos penghantaran kereta berkenaan.
“Mangsa membuat tiga transaksi pembayaran, masing-masing RM300 pada 10 Oktober, RM500 pada 12 Oktober dan RM500 pada 13 Oktober lalu.
“Lebih mencurigakan, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,500 atas alasan peningkatan kos minyak bagi penghantaran hadiah.
“Menyedari terdapat unsur penipuan, mangsa akhirnya enggan meneruskan pembayaran dan tampil membuat laporan polis,” katanya.
DSP Muhamad Rizal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, manakala semakan melalui Sistem Perisikan Jenayah Berpusat (CCIS) terhadap nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam transaksi itu tidak menemukan sebarang rekod.
Mangsa turut diberikan penerangan mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan dinasihatkan menghubungi talian 997 bagi membuat aduan berkaitan penipuan tersebut.
“Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran peraduan atau hadiah lumayan yang disebarkan melalui media sosial dan aplikasi pesanan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran bagi menuntut hadiah yang belum disahkan kesahihannya, selain mengelakkan perkongsian maklumat peribadi atau menekan pautan mencurigakan,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kes atau aktiviti penipuan hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan dalam talian boleh menghubungi NSRC melalui talian 997 dengan segera.
Oleh Adi Safarman





