Hospital Sri Aman perkukuh kemahiran klinikal, fokus penjagaan pesakit dengan bantuan ventilator

Facebook
WhatsApp
BENGKEL Penjagaan Pesakit yang Menggunakan Ventilator yang berlangsung selama dua hari di Bilik Persidangan Hospital Sri Aman. Foto Hospital Sri Aman

SIMANGGANG, 15 Oktober: Hospital Sri Aman terus memperkukuh keupayaan tenaga klinikal dalam memberikan rawatan kritikal menerusi penganjuran Bengkel Care of Ventilated Patient (Penjagaan Pesakit yang Menggunakan Ventilator) selama dua hari di Bilik Persidangan Hospital Sri Aman.

Menurut kenyataan Hospital Sri Aman, bengkel anjuran Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Kritikal itu menghimpunkan anggota klinikal yang terdiri daripada jururawat serta Penolong Pegawai Perubatan dari pelbagai unit dan jabatan di hospital berkenaan.

Bengkel tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam mengendalikan serta memberikan penjagaan yang selamat kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan menggunakan mesin ventilator, sama ada secara invasif mahupun bukan invasif.

Penekanan turut diberikan kepada langkah pencegahan jangkitan dan komplikasi bagi memastikan pesakit menerima penjagaan yang lebih berkualiti, khususnya mereka yang berada dalam keadaan kritikal.

Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan mengenai peranan anggota klinikal dalam membantu doktor melaksanakan prosedur intubasi dan ekstubasi, di samping meningkatkan kemahiran serta keyakinan ketika mengiringi pesakit tenat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital lain atau menjalani pemeriksaan seperti imbasan CT dan sinar-X.

Aspek pengurusan ubat-ubatan ketika kecemasan turut menjadi antara fokus bengkel, termasuk pemahaman mengenai tanggungjawab dalam pemberian ubat inotropik dan sedasi mengikut arahan serta protokol klinikal yang ditetapkan.

Peserta juga didedahkan kepada kaedah penjagaan dan pengendalian mesin ventilator yang betul serta selamat bagi memastikan peralatan berkenaan dapat digunakan secara optimum dalam menyokong rawatan pesakit.

Bagi memastikan penyampaian ilmu lebih berkesan, bengkel tersebut turut merangkumi ceramah, sesi praktikal, kuiz interaktif dan soal jawab yang memberi peluang kepada peserta memperkukuh pemahaman serta mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi klinikal.

Penganjuran bengkel seumpama itu memperlihatkan komitmen Hospital Sri Aman dalam mempertingkat kompetensi anggota kesihatan, khususnya dalam pengurusan pesakit kritikal, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih selamat, cekap dan berkualiti kepada masyarakat.

Oleh Adi Safarman