KUCHING, 15 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sedang meneliti langkah penambahbaikan keselamatan infrastruktur di sekitar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Apong bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan murid sekolah.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah sebuah longkang dalam di tepi jalan berhampiran sekolah berkenaan yang berpotensi membahayakan keselamatan murid.
Menurutnya, keadaan itu lebih membimbangkan ketika hujan lebat apabila paras air meningkat, selain ketiadaan pagar keselamatan yang boleh menyebabkan murid terjatuh ke dalam longkang.
“Keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kita. Risiko yang berpotensi mendatangkan bahaya perlu dikenal pasti dan langkah pencegahan mesti diambil sebelum kemalangan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bersama Ahli Majlis MBKS, Chai Ju Loon serta beberapa pegawai bagi menilai tahap keselamatan infrastruktur di sekitar sekolah berkenaan.
Wee berkata, MBKS sedang mempertimbangkan beberapa langkah penambahbaikan termasuk pemasangan pagar keselamatan dan pembinaan laluan landai bagi memudahkan pergerakan murid serta ibu bapa.
Katanya, pihak majlis akan menilai keadaan tapak terlebih dahulu sebelum menentukan langkah paling praktikal bagi menangani kebimbangan keselamatan yang dibangkitkan.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan murid perlu diberikan perhatian khusus terutama di kawasan yang sering digunakan ketika waktu menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
Dalam pada itu, Wee berkata, lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBKS menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan persekitaran sekolah sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selamat dan mesra kanak-kanak.





