PGA Sarawak catat 26 kejayaan operasi, rampasan RM5.77 juta

Facebook
WhatsApp
KOMANDER Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Datuk Lim Bak Phai.

KUCHING, 15 Oktober: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 26 kejayaan operasi dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM5.77 juta menerusi empat operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang 1 Oktober hingga semalam.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan 35 individu, terdiri daripada 24 warga tempatan dan 11 warga asing, atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, operasi yang dilaksanakan merangkumi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas dan Op Taring Chiller.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang disyaki belum dijelaskan cukai kastam, penyelewengan minyak diesel, penyeludupan barang kawalan seperti beras, kesalahan imigresen, penyeludupan migran dan pemilikan dadah.

“Selain itu, operasi turut membanteras kegiatan penyimpanan dan pengedaran produk sejuk beku tanpa permit yang sah,” katanya.

BARANGAN yang dirampas semasa pelbagai serbuan oleh PGA.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Op Taring Alpha merekodkan 18 kejayaan operasi di Kota Samarahan, Padawan, Sibu, Bau, Kuching, Miri, Serian dan Bintangor.

Katanya, operasi itu tertumpu kepada kegiatan penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang disyaki belum dijelaskan cukai kastam.

“Hasil operasi, sebanyak 7,565 karton pelbagai jenis rokok, 30,957.67 liter minuman keras serta beberapa kenderaan dirampas, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.11 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Op Taring Bravo mencatatkan dua kejayaan operasi di Limbang dan Lundu membabitkan penyelewengan minyak diesel serta penyimpanan beras sebagai barang kawalan tanpa dokumen atau permit yang sah.

Menurutnya, rampasan melibatkan 64,000 liter minyak diesel, lima tangki jenis SKID, 25,000 kilogram beras dan dua lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM824,780.

Bagi Op Taring Batas/Awas pula, Lim berkata, empat kejayaan operasi direkodkan di Serian membabitkan kesalahan berkaitan dadah, imigresen dan penyeludupan migran.

Katanya, operasi itu membawa kepada penahanan individu yang disyaki memiliki dadah serta terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing ke negara ini tanpa dokumen perjalanan atau permit yang sah.

“Pelbagai barangan termasuk motosikal, kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai turut dirampas, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM135,792.97,” katanya.

Dalam pada itu, Op Taring Chiller merekodkan dua kejayaan operasi di Kuching dan Miri membabitkan kegiatan penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit yang sah.

Lim berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan 2,060 kilogram produk ayam sejuk beku, sebuah forklift serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan ayam, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM702,230.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Oleh Connie Chieng

Penipuan pelaburan, lelaki rugi RM28,750

SERIAN, 14 Oktober: Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada pengadu berhubung kes penipuan pelaburan yang menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian

DUN: Tellian cadang tubuh DUN Belia Sarawak

PETRA JAYA, 15 Oktober: Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sarawak dicadangkan sebagai platform rasmi untuk golongan muda menyuarakan pandangan