Dijanjikan pulangan tinggi, lelaki di Serian rugi RM28,750

Facebook
WhatsApp
GAMBAR janaan AI.

SERIAN, 14 Oktober: Terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, seorang lelaki di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM28,750 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, mangsa pada awalnya tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dipaparkan di platform Facebook menggunakan nama sebuah syarikat sebelum meneruskan urusan melalui aplikasi Telegram.

Mangsa kemudian dipercayai dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh singkat sehingga mendorongnya membuat beberapa transaksi pembayaran ke dua akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM28,750.

Bagaimanapun, selepas wang berkenaan dipindahkan, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM58,412 atas alasan berlaku kesilapan ketika mengakses pautan yang diberikan.

Menyedari terdapat unsur mencurigakan dalam urusan berkenaan, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Hasil semakan awal melalui Sistem Perisikan Jenayah Berpusat (CCIS) mendapati kedua-dua nombor telefon yang berkaitan tidak mempunyai rekod, manakala semakan terhadap akaun bank berkenaan menemukan rujukan rekod terdahulu untuk penelitian lanjut.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta meneliti aliran transaksi kewangan berkaitan kes tersebut.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial, khususnya tawaran yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak kesahihan syarikat dan tawaran pelaburan menerusi saluran rasmi sebelum membuat sebarang pembayaran, selain mengelakkan pemindahan wang tambahan bagi mendapatkan pulangan yang dijanjikan tanpa pengesahan sewajarnya.

Sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan kewangan, orang ramai disaran segera menghubungi pihak bank masing-masing dan membuat laporan polis.

Mangsa juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dengan segera untuk mendapatkan bantuan dan panduan tindakan selanjutnya.

Oleh Adi Safarman