MIRI, 15 Oktober: Peningkatan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI kepada RM750 juta menerusi Belanjawan 2027 membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, menikmati barangan keperluan asas pada harga lebih murah.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata peningkatan RM100 juta berbanding RM650 juta sebelum ini, dengan sasaran 35,000 penganjuran, merupakan langkah penting kerajaan dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata penganjuran program berkenaan perlu diperluas dan dipergiat terutamanya di kawasan luar bandar, perumahan kos rendah serta Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasar.
“Program ini amat penting dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat. Saya mahu warga Miri dapat menikmati inisiatif Kerajaan MADANI, terutama mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Program Jualan Rahmah MADANI menawarkan pelbagai barangan keperluan harian termasuk bahan makanan kering, barangan isi rumah dan bahan mentah segar pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Chiew berkata Pusat Khidmat Parlimen Miri telah menganjurkan program itu secara bulanan sejak 2023 di lokasi strategik berhampiran komuniti termasuk sekolah, rumah ibadat dan pasar raya.
Beliau berkata pendekatan membawa jualan terus ke kawasan penempatan penduduk adalah bagi memudahkan golongan sasar mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
“Program terbaharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Piasau dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup cawangan Miri, pihak pasar raya serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Chiew berkata enam lagi penganjuran Jualan Rahmah dijadualkan berlangsung sepanjang Oktober, bermula di QQ Frozen Freshmart pada 17 dan 18 Oktober, diikuti K.E Frozen Fresh Mart, Pelita (18 dan 19 Oktober).
Program turut dijadualkan di A Hong’s Grocer, Senadin, pada 24 dan 25 Okt, Sekolah Kebangsaan Lutong dan Gelanggang Bola Keranjang Vista Perdana pada 24 Oktober serta Busang Jelini pada 31 Oktober.- Bernama





