DUN: 557 lampu solar LED bakal cerahkan laluan Kabong, tingkat keselamatan rakyat

Facebook
WhatsApp
DATUK Aidel Lariwoo ketika menjawab soalan ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, berhubung cadangan pemasangan 557 lampu jalan LED solar di sepanjang laluan simpang Lebih Raya Pan Borneo ke Pekan Kabong pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Sebanyak 557 unit lampu jalan LED solar dicadangkan untuk dipasang di sepanjang laluan simpang Lebuh Raya Pan Borneo ke Pekan Kabong bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek sepanjang kira-kira 37.7 kilometer itu melibatkan anggaran kos RM3.62 juta.

Menurutnya, pemasangan lampu jalan berkenaan dijangka dapat mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam, selain memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Dalam pada itu, Aidel berkata sebanyak 700 unit lampu LED solar telah dipasang pada tahun lalu menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), meliputi laluan dari Simpang Roban hingga ke Pasar Kabong.

Katanya, pemasangan lampu berkenaan dilaksanakan pada jarak 30 meter di kawasan selekoh dan 60 meter di jalan lurus.

Selain pemasangan lampu jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut mengambil langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan pengguna di sepanjang laluan berkenaan.

Antara langkah itu termasuk pemasangan lampu amaran berkelip, penanda jalan (road stud), papan tanda dan garisan jalan, terutama di kawasan selekoh tajam, persimpangan, jambatan serta kampung.

Pemasangan tambahan yang dicadangkan itu diharap dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan dan memberikan keselesaan kepada penduduk setempat.

Oleh Afiq Sallehi