SARIKEI, 14 Oktober: Seorang lelaki berusia 51 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Sarikei, hari ini, manakala dua lelaki lain masing-masing dijatuhi hukuman denda dalam kes khianat membabitkan kerosakan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, lelaki berusia 51 tahun itu berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berhubung dua kejadian berasingan yang berlaku pada September dan baru-baru ini.
Katanya, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.
“Mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mengambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Aswandy berkata, dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 46 tahun turut dijatuhi hukuman dalam dua kes khianat membabitkan kenderaan jenis Proton Saga.
Menurutnya, kedua-dua kes itu dikendalikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dengan jumlah kerugian yang berbeza.
“Dalam kes pertama, seorang tertuduh didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda selepas didapati melakukan khianat dengan merosakkan cermin sebuah Proton Saga sehingga menyebabkan kerugian RM1,273.20.
“Dalam kes kedua, dua tertuduh didenda RM3,500 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana melakukan khianat secara bersama terhadap sebuah Proton Saga sehingga menyebabkan kerugian RM380,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi berkaitan kes yang masih dalam prosiding mahkamah.
Oleh Earl Anek





