KUCHING, 14 Oktober: Dua konsep reka bentuk yang menggabungkan elemen kehijauan, kemudahan awam dan ruang interaksi komuniti diketengahkan bagi menambah baik Taman Kenyalang di sini.
Cadangan itu kini dalam penelitian Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi memastikan reka bentuk yang diperkenalkan sesuai dengan iklim tempatan, keperluan penduduk serta aspek penyelenggaraan jangka panjang.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, kedua-dua konsep itu merupakan hasil Kajian Reka Bentuk dan Penglibatan Komuniti Taman Kenyalang yang dijalankan oleh Universiti Chung Yuan Christian (CYCU), Taiwan, dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Menurutnya, pembangunan taman awam perlu mengambil kira persekitaran, demografi penduduk, corak penggunaan ruang serta kemudahan yang diperlukan oleh komuniti.
“Setiap taman mempunyai persekitaran dan keperluan komuniti tersendiri. Kita perlu memahami siapa yang menggunakan taman itu, bagaimana ruang tersebut digunakan dan kemudahan yang sesuai disediakan.
“Taman yang baik bukan sahaja perlu cantik, tetapi juga praktikal, selesa dan mudah diakses oleh semua,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi CYCU yang membentangkan hasil kajian berkenaan.
Kajian itu melibatkan pelajar CYCU dan UTS yang menjalankan kajian lapangan di Taman Kenyalang, termasuk di kawasan Taman Lalu Lintas, pasar dan bazar, dari 1 Ogos hingga 5 September 2025.

Melalui pemerhatian, temu bual dan sesi libat urus bersama penduduk, para pelajar meneliti corak penggunaan ruang awam oleh penduduk daripada pelbagai peringkat umur serta keperluan terhadap kemudahan rekreasi dan sosial.
Konsep pertama mencadangkan perabot jalan yang menggabungkan tempat duduk, tanaman dan kemudahan penyimpanan air, dengan susunan tempat duduk berbentuk melengkung bagi menggalakkan pengunjung berehat serta berinteraksi dalam persekitaran hijau.
Prototaip konsep itu telah dipasang di sebuah pembangunan perumahan sosial di Taoyuan, Taiwan.
Konsep kedua pula menampilkan struktur kanopi yang menyokong pertumbuhan tumbuhan menjalar bagi menyediakan teduhan semula jadi. Prototaipnya dipamerkan pada Festival Seni Tanah Taoyuan 2026 sebelum dijadikan kemudahan awam kekal.
Wee berkata, pendekatan yang menggabungkan kehijauan, tempat duduk berteduh dan ruang interaksi komuniti berpotensi menjadikan taman awam lebih selesa serta menggalakkan penggunaannya oleh kanak-kanak, keluarga dan warga emas.
Beliau berkata, MBKS akan menilai kesesuaian kedua-dua konsep itu untuk dilaksanakan di Taman Kenyalang dengan mengambil kira iklim tempatan, pemilihan bahan, maklum balas penduduk dan keperluan penyelenggaraan.
Projek itu diterajui CYCU dengan kerjasama UTS, bimbingan profesional daripada Arkitek JFN Sdn Bhd serta tajaan kewangan Daitti Group of Companies.




