BINTULU, 14 Oktober: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) melaksanakan kerja pembaikan lubang besar di Jalan Lapangan Terbang Lama, dari arah Parkcity menuju ke Paragon, susulan aduan orang awam mengenai keadaan jalan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, beliau telah menghubungi BDA bagi meminta pemeriksaan dan tindakan keselamatan segera selepas menerima aduan itu ketika menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.
“Pihak BDA telah berada di lokasi untuk memasang penghadang keselamatan, melaksanakan lencongan jalan sementara serta menjalankan kerja pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan lencongan, khususnya ketika waktu puncak selepas bekerja.
“Saya turut meminta BDA menyiasat punca sebenar kejadian serta mengenal pasti sebarang risiko terhadap struktur dan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan masalah sama berulang,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan aduan dengan segera serta BDA atas tindakan pantas menangani masalah berkenaan.
Oleh Carolyne Utih





