PETRA JAYA, 14 Oktober: Seramai 150 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli Majlis Daerah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan berpeluang menimba pengalaman berharga apabila menyaksikan sendiri perjalanan Persidangan Hari Ketiga DUN Sarawak, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata kehadiran rombongan pertama tersebut merupakan satu inisiatif bermakna bagi memberikan pendedahan kepada barisan kepimpinan masyarakat mengenai proses persidangan dewan.
Menurut beliau, lawatan ini juga bertujuan membolehkan peserta memahami dengan lebih dekat peranan institusi legislatif negeri dalam urusan pentadbiran dan pembangunan Sarawak.
“Ini peluang yang amat baik untuk KMKK dan Ahli Majlis Daerah melihat sendiri bagaimana perbahasan dan keputusan dibuat di dalam dewan yang mulia ini,” katanya.
Sempena kunjungan itu, rombongan turut berpeluang merakamkan gambar kenangan bersama Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai.
Selain itu, mereka turut bergambar bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan yang juga Timbalan Presiden PRS, Datuk Majang Renggi, yang turut hadir menyambut kunjungan tersebut.

Kunjungan ini katanya memperlihatkan kepentingan hubungan erat antara kepimpinan negeri, wakil rakyat dan institusi KMKK yang berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Diharapkan hubungan kerjasama dan persefahaman yang sedia terjalin ini akan terus diperkukuh demi memastikan aspirasi, keperluan serta kepentingan masyarakat Bukit Begunan sentiasa diberikan perhatian.
“Usaha tersebut selari dengan hasrat untuk meneruskan agenda pembangunan negeri Sarawak yang menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Untuk makluman umum, seramai 150 KMKK Bukit Begunan akan mengadakan lawatan ke DUN Sarawak bermula hari ini sehingga Jumaat.
Program lawatan itu dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada peserta dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing.
Oleh Adi Safarman





