Hari Sukan Negara 2026 Limbang tampil pelbagai acara sukan, rekreasi

Facebook
WhatsApp
RYNNILLE Elsther Peter bersama tetamu jemputan merakamkan gambar kenangan bagi mempromosikan sambutan HSN 2026 Peringkat Bahagian Limbang yang bakal berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober ini.

LIMBANG, 14 Oktober: Pelbagai aktiviti sukan, rekreasi dan kemasyarakatan bakal memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Bahagian Limbang dari 16 hingga 18 Oktober ini, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Rynnille Elsther Peter berkata, program itu dirancang untuk menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia dan komuniti setempat.

Menurutnya, penganjuran pelbagai aktiviti bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam kegiatan fizikal, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan.

Antara aktiviti yang dijadualkan ialah Pertandingan Aerobicthon Bahagian Limbang di Dewan Suarah Limbang pada 16 Oktober, Larian Santai Blue HSN 2026, Jalan Ria Madani, Larian Komuniti Penjara Limbang dan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Limbang.

Turut diadakan ialah Pertandingan Tinju Amatur, Pertandingan Petanque Beregu Terbuka Lawas, Pertandingan Dart Beregu Tertutup Damai 2026, Larian Ketahanan Empat Jam Tebingan Limbang, Kempen Derma Darah, Jualan MADANI Koperasi, Pameran Majlis Sukan Negeri Sarawak sempena HSN 2026 serta Program Port Healing Rakan Prihatin.

Rynnille berkata, program berkenaan turut merangkumi Bengkel Bantuan Pernafasan Kardiopulmonari (CPR) dan Penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang dikendalikan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Limbang di Dewan KEMAS.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah dijangka merasmikan sambutan HSN 2026 Peringkat Bahagian Limbang di Dewan Suarah Limbang pada 17 Oktober ini.

Beliau menggalakkan masyarakat setempat menyertai program berkenaan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal dalam rutin harian demi mengekalkan kesihatan dan kecergasan.

“Kita mengalu-alukan penyertaan masyarakat setempat untuk memeriahkan program ini. Selamat menyambut HSN dan ayuh kita bersukan,” katanya.

Oleh Adeng Edrus