PETRA JAYA, 14 Oktober: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian yang dikategorikan sebagai projek sakit perlu diberi keutamaan untuk dipulihkan dan disiapkan tanpa kelewatan berpanjangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, agensi pelaksana perlu menyediakan jadual penyempurnaan yang jelas bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Dalam perbahasan itu, beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan menaik taraf Balingian daripada daerah kecil kepada daerah penuh bagi memperkukuh urusan pentadbiran dan memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan, perkembangan penduduk dan pertumbuhan ekonomi menjadi antara faktor yang wajar dipertimbangkan bagi merealisasikan cadangan berkenaan.
Abdul Yakub turut membangkitkan keperluan mempercepat pembangunan Pusat Kecil Matadeng (Matadeng Sub-Centre) yang berpotensi menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan di kawasan Mukah dan Balingian.
Beliau meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan projek itu, termasuk komponen yang telah disiapkan, sedang dilaksanakan atau masih dalam perancangan, selain jadual pelaksanaan dan peruntukan yang disediakan.
Beliau turut memohon penjelasan mengenai hala tuju cadangan Taman Perindustrian Matadeng (Matadeng Industrial Park) serta penyelarasannya dengan pembangunan Pusat Kecil Matadeng bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan Balingian menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM833.5 juta menerusi Projek Rakyat sebanyak RM645.5 juta, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) RM47.5 juta, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM18 juta dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) RM122.5 juta.
Beliau turut menyambut baik penyerahan 22 unit Rumah Spektra Permata di Skim Pembesaran Kampung Balingian pada 3 Oktober lalu yang bernilai RM10.3 juta, selain kelulusan 32 unit lagi dengan peruntukan RM29.75 juta.
Selain itu, beliau menyifatkan kelulusan projek gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balingian bernilai RM58 juta sebagai langkah penting untuk memperkukuh kemudahan pendidikan luar bandar.
Abdul Yakub turut meminta perhatian kerajaan terhadap projek Jalan SK Sungai Liuk–Kuala Balingian Fasa 3 yang menerima peruntukan RM45 juta serta projek pembinaan baharu Jambatan Penakub Ulu, Mukah, bernilai RM60 juta.
Beliau berharap pelaksanaan kedua-dua projek itu dipantau dengan rapi supaya berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual.
Dalam aspek infrastruktur jalan raya, beliau turut menggesa penyelenggaraan, kerja naik taraf dan penyambungan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo diberi perhatian serius bagi menyediakan laluan alternatif ke Bintulu serta mengurangkan penggunaan jalan pesisir oleh kenderaan berat.
Beliau turut mencadangkan pelebaran Jalan Ulu Bayan serta penambahbaikan infrastruktur di Skim Pembesaran Kampung Sau dan Skim Pembesaran Kampung Kuala Balingian, termasuk jalan, sistem perparitan, bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi.
Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan Medan Selera Sungai Alo serta naik taraf Medan Selera Mateding Fasa 2, termasuk penambahan ruang parkir khas untuk lori dan kenderaan berat bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan.
Beliau berkata, kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 perlu diukur berdasarkan keberkesanan pelaksanaan projek dan sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Abdul Yakub berkata, Balingian menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dan Belanjawan Sarawak 2027.
Oleh Shikin Mahmud





