DUN: 12 rumah panjang di Sarikei masih belum nikmati bekalan air terawat

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) ketika membahaskan RUU Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 14 Oktober: Sebanyak 12 rumah panjang di kawasan pedalaman Sarikei masih belum menikmati bekalan air terawat sepenuhnya, menyebabkan penduduk bergantung kepada sumber air sungai dan tadahan hujan untuk kegunaan harian.

Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) berkata, kawasan terlibat termasuk Sebangkoi, Bukit Kayu Malam, Sungai Mawang dan Sungai Rusa.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti air yang digunakan penduduk, khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Akses kepada air terawat merupakan keperluan asas, namun masih terdapat 12 rumah panjang di kawasan pedalaman Sarikei yang belum menikmati kemudahan ini sepenuhnya.

“Penduduk di kawasan ini masih bergantung kepada sumber air sungai dan tadahan hujan yang kualitinya tidak terjamin serta berisiko menjejaskan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Sehubungan itu, Huang meminta kerajaan menjelaskan status terkini projek bekalan air terawat bagi kawasan terbabit bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada kemudahan asas berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan keperluan pemasangan lampu jalan berkuasa solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada waktu malam.

Katanya, Jalan Kim San menempatkan lebih 150 rumah dan sembilan rumah panjang, selain menjadi laluan alternatif kepada penduduk di Jalan Sungai Rusa yang melibatkan 60 keluarga serta sebuah rumah panjang.

“Keadaan jalan yang gelap pada waktu malam meningkatkan risiko kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya di Sarikei.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan pemasangan lampu jalan berkuasa solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San,” katanya.

Selain itu, Huang turut meminta penjelasan kerajaan berhubung status projek pembinaan jeti komersial konkrit bertetulang di Sarikei yang sebelum ini dijadualkan memulakan pembinaan pada suku ketiga 2026.

Beliau turut membangkitkan masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital Sarikei dan Poliklinik Sarikei susulan peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan.

Menurutnya, Hospital Sarikei mempunyai 73 petak parkir untuk kakitangan dan 258 petak bagi orang awam, sedangkan keperluan keseluruhan dianggarkan sebanyak 450 petak.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan pembinaan semula Jambatan Sungai Lepong yang menjadi laluan utama kepada penduduk di 16 rumah panjang serta sebuah sekolah rendah.

Huang berharap semua isu yang dibangkitkan mendapat perhatian kerajaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di Sarikei dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan penduduk.

Oleh Norman B