PETRA JAYA, 14 Oktober: Jambatan Muara Lassa di Bahagian Mukah mengharumkan nama Sarawak apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan Raya (REAM) 2026 bagi kategori Projek Berskala Besar bernilai melebihi RM100 juta.
Kejayaan itu menyerlahkan keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar, sekali gus membuktikan kepakaran kejuruteraan negeri dalam membangunkan jaringan perhubungan yang lebih berkualiti untuk rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan itu sebagai satu kebanggaan buat Sarawak, selain memperlihatkan komitmen dan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Menurutnya, kejayaan Jambatan Muara Lassa meraih anugerah berprestij itu, ditambah dengan empat projek JKR Sarawak yang berjaya disenaraikan sebagai finalis, membuktikan keupayaan pasukan kejuruteraan negeri dalam memenuhi piawaian pelaksanaan projek infrastruktur berkualiti tinggi.
“Pencapaian ini sememangnya membanggakan Sarawak dan membuktikan keupayaan serta kepakaran pasukan kejuruteraan negeri dalam melaksanakan projek infrastruktur yang berkualiti tinggi.
“Saya berharap pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada JKR Sarawak untuk terus mengekalkan kecemerlangan kejuruteraan, memperkukuh jaringan perhubungan serta memastikan setiap pembangunan infrastruktur memberikan manfaat yang bermakna kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi JKR Sarawak yang diketuai Pengarahnya, Datu Dr Cassidy Morris, bagi penyerahan piala anugerah berkenaan di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi tadi.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Kuala Lumpur semalam, bersempena Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia Ke-13 Tahun 2026 serta Kongres Serantau Asia-Pasifik Global Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa Ke-6.
Selain Jambatan Muara Lassa yang muncul sebagai pemenang, tiga lagi projek JKR Sarawak turut disenaraikan sebagai finalis, iaitu Jambatan Marudi, Jambatan Sebauh dan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Kesemua empat projek itu merupakan sebahagian daripada sembilan projek yang disenarai pendek, sekali gus memperlihatkan pencapaian JKR Sarawak dalam pelaksanaan projek kejuruteraan jalan raya dan jambatan.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan kerjasama erat antara pasukan projek, perunding, kontraktor serta pihak berkaitan dalam memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keperluan dan standard yang ditetapkan.
Pengiktirafan itu diharap dapat mendorong JKR Sarawak untuk terus mempertingkat mutu pelaksanaan projek infrastruktur, memperkukuh kesalinghubungan antara kawasan serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri secara berterusan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Oleh Adi Safarman





