Inkues: Tiada unsur mencurigakan dalam kes Zara Qairina – Pegawai Penyiasat

Facebook
WhatsApp
SIASATAN di tempat kejadian, semakan diari pelajar dan pemeriksaan perubatan tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan, kata pegawai penyiasat.

KOTA KINABALU, 14 Oktober: Pegawai Penyiasat kes Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa siasatannya tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan berhubung insiden yang membawa kepada kematian pelajar itu. 

Inspektor Wong Yew Zhung, saksi ke-83 prosiding inkues kematian Zara Qairina berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian, semakan terhadap diari pelajar tersebut dan hasil pemeriksaan perubatan.

Beliau berkata penemuan akhir juga menunjukkan tiada kecederaan lain ditemukan pada pelajar itu selain kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Pada pendapat saya, dalam akhir siasatan saya pun, tiada keadaan mencurigakan,” katanya ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina dalam prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di sini hari ini.

Shahlan sebelum itu bertanya sama ada bedah siasat sepatutnya dijalankan sekiranya sesuatu kematian dianggap mencurigakan, mengambil kira keadaan Zara Qairina yang ditemukan tidak sedarkan diri di aras bawah asrama sebelum meninggal dunia.

Shahlan turut merujuk keadaan Zara Qairina yang dikatakan menangis selepas berjumpa pelajar senior di sebuah bilik asrama selain tiada pelajar atau saksi melihat bagaimana remaja itu terjatuh sebelum ditemukan.

Wong berkata proses bedah siasat perlu dijalankan sekiranya sesuatu kematian mencurigakan untuk mengenal pasti punca kematian, namun dalam kes Zara Qairina, hasil pemeriksaan doktor dalam bedah siasat turut menunjukkan tiada kecederaan lain selain jatuh dari tempat tinggi.

“Walaupun selepas proses bedah siasat, keputusan (tentang punca kematian) masih tetap sama,” katanya.

Wong berkata beliau menerima arahan berhubung keperluan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, namun borang berkaitan tidak dikeluarkan pada ketika itu berikutan keengganan keluarga terhadap prosedur tersebut.

Dalam prosiding semalam, Wong memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat tidak mahu bedah siasat dilakukan terhadap anaknya walaupun telah dimaklumkan dan diberikan penjelasan sebanyak dua kali berhubung perkara itu.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.- Bernama