Bermula 10 benih, kini miliki 2,000 ekor empurau, jana lebih RM40,000 setahun

Facebook
WhatsApp
TERNAKAN ikan empurau milik Tuai Rumah Bantan kini berkembang kepada kira-kira 2,000 ekor Rumah Panjang Sungai Langit, Ulu Layar. Foto Douglas Uggah Embas Official

BETONG, 14 Oktober: Bermula dengan hanya 10 ekor benih ikan pada 2021, usaha gigih Tuai Rumah Bantan Jerman, 66, dari Rumah Panjang Sungai Langit, Ulu Layar, kini membuahkan hasil apabila ternakan ikan empurau miliknya berkembang kepada kira-kira 2,000 ekor.

Lebih membanggakan, perusahaan yang dibangunkan menggunakan modal sendiri itu mampu menjana pendapatan tahunan melebihi RM40,000, sekali gus membuktikan bahawa ternakan ikan bernilai tinggi tersebut berpotensi menjadi sumber ekonomi yang menguntungkan bagi masyarakat luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan Bantan wajar dijadikan contoh kepada penduduk lain yang berminat menceburi industri penternakan ikan empurau, khususnya di kawasan Bukit Saban.

BANTAN memulakan perusahaan itu dengan membeli 10 ekor benih ikan berukuran kira-kira lima inci sebelum membina kolam simen bagi menempatkan ternakannya. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Tuai Rumah Bantan di Sungai Langit antara penternak empurau yang telah berjaya di Bukit Saban dan ia boleh kita anggap sebagai satu role model kepada yang lain dalam industri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban.

Bantan memulakan perusahaan itu dengan membeli 10 ekor benih ikan berukuran kira-kira lima inci sebelum membina kolam simen bagi menempatkan ternakannya.

Melihat ikan berkenaan mampu hidup dan membesar dengan baik, beliau kemudian menambah jumlah ternakan secara berperingkat sehingga mencecah kira-kira 2,000 ekor pada masa ini.

TERNAKAN ikan empurau bernilai tinggi tersebut berpotensi menjadi sumber ekonomi yang menguntungkan bagi masyarakat luar bandar. Foto Douglas Uggah Embas Official

Bagaimanapun, perjalanan mengusahakan ikan empurau bukan tanpa cabaran, terutama dari segi kos makanan yang perlu ditanggung bagi memastikan ikan mendapat bekalan mencukupi untuk membesar.

Menurut Bantan, sumber makanan semula jadi seperti buah engkabang dan ensurai sukar diperoleh di luar musimnya, menyebabkan beliau perlu menyediakan makanan tambahan dengan perbelanjaan kira-kira RM800 sebulan.

Walaupun jualan tidak berlaku setiap bulan, perusahaan itu tetap memberikan pulangan yang memberangsangkan menerusi pelanggan tetap serta tempahan daripada restoran di sekitar Betong dan Sri Aman.

Permintaan juga meningkat ketika musim perayaan apabila pelanggan dan pengusaha restoran membuat tempahan dalam kuantiti yang lebih besar.

TUAI Rumah Bantan di Sungai Langit antara penternak empurau yang telah berjaya di Bukit Saban. Foto Douglas Uggah Embas Official

Bantan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Bahagian Betong atas bimbingan dan bantuan yang diberikan bagi menyokong perkembangan perusahaan ternakannya.

Selain mengusahakan ternakan ikan empurau, beliau turut menjalankan perniagaan di Betong, sekali gus memperlihatkan kesungguhannya dalam mempelbagaikan sumber pendapatan.

Bagi mengembangkan lagi perusahaan berkenaan, Bantan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah ternakannya kepada 5,000 ekor, bergantung pada permintaan pasaran.

Kejayaan itu membuktikan bahawa dengan kesungguhan, perancangan dan pengurusan yang berterusan, penternakan ikan empurau mampu menjadi antara peluang ekonomi yang berpotensi untuk diterokai masyarakat luar bandar Sarawak.

Oleh Adi Safarman