Lelaki 23 tahun positif dadah, ditahan polis di Saratok

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan polis dalam operasi Op Tapis di tepi Jalan Abang Haji Puteh Elias, Saratok. Foto IPD Saratok

SARATOK, 14 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan polis selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam satu operasi di tepi Jalan Abang Haji Puteh Elias, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan itu dilakukan oleh pasukan Petugas Khas Op Tapis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, sekitar 4.00 petang.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan susulan maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan anggota polis yang diketuai Sub Inspektor Engelbert menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan dan tindakan lanjut, suspek telah ditahan sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Saratok bagi menjalani ujian saringan air kencing serta proses dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif amphetamine dan methamphetamine.

Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan lanjut dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Sarjan Roslinda Utubesar.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan di Daerah Saratok.

Oleh Adi Safarman