SIBU, 14 Oktober: Seorang lelaki berusia 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sarikei semalam atas pertuduhan mencuri komponen jentolak serta memiliki senjata api dan senjata berbahaya tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata, tertuduh sebelum itu ditahan pada 26 September lalu kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian bateri dan komponen jentolak di Kampung Loba Balu, Matu.
Menurutnya, hasil siasatan membawa kepada penemuan semula semua barang yang dicuri di sebuah rumah di Bruan Besar, Matu.
“Polis turut merampas sepucuk senapang patah buatan sendiri, sepucuk senapang angin, sebutir peluru hidup 12 bore dan sebilah pisau kerambit dalam milikan suspek,” ujarnya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Matu Daro dengan bantuan anggota Balai Polis Matu.
Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, tertuduh didakwa pada 13 Oktober di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM12,000 berserta dua penjamin.
Mahkamah menetapkan 17 November depan untuk sebutan lanjut kes.
Oleh Akun Giman




