KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, mengekalkan sentimen berhati-hati namun positif, disokong oleh aktiviti belian saham murah yang berterusan serta asas domestik yang berdaya tahan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.50 mata atau 0.27 peratus kepada 1,627.85 daripada 1,623.35 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 0.59 mata kepada 1,623.94.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 193 berbanding 137 manakala 291 kaunter tidak berubah, 2,234 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 239.44 juta unit bernilai RM140.08 juta.
Bagaimanapun, Apex Securities Bhd memaklumkan bahawa keluasan pasaran yang sangat negatif pada Selasa walaupun KLCI mencatatkan kenaikan, menunjukkan bahawa pemulihan pasaran masih tertumpu pada saham-saham permodalan besar terpilih.
Firma itu juga menyatakan bahawa tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing serta kelemahan dalam pasaran teknologi serantau mungkin mengehadkan potensi kenaikan selanjutnya.
“Penurunan hasil Perbendaharaan AS dan harga minyak mentah mungkin memberikan sedikit kelegaan, namun pelabur dijangka kekal berhati-hati menjelang pengeluaran data inflasi penting AS.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan KLCI akan terus bergerak dalam julat tertentu dengan kecenderungan dagangan yang selektif, memandangkan sokongan dasar domestik mengimbangi keadaan makroekonomi global yang tidak menentu,” menurut firma itu dalam satu nota penyelidikan.
Mengenai tumpuan sektor, Apex Securities menyatakan bahawa sektor kewangan mungkin kekal berdaya tahan, disokong oleh minat belian berterusan terhadap saham-saham perbankan utama, walaupun terdapat tekanan jualan berterusan daripada pelabur asing.
“Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) mungkin mendapat sokongan daripada penurunan hasil bon global, menggalakkan aktiviti pembelian saham pada harga rendah.
“Sekiranya ketegangan geopolitik kembali memuncak di Asia Barat, saham-saham sektor tenaga mungkin mencatatkan prestasi dagangan yang baik,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM9.98, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.73, CIMB menokok tujuh sen kepada RM7.57 dan IHH Healthcare melonjak lima sen kepada RM8.03, bagaimanapun Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.02.
Bagi saham aktif, Ecosys yang mula disenaraikan dalam Pasaran ACE naik 46 sen kepada 73 sen, TWL meningkat setengah sen kepada 2.5 sen, Asteel menokok satu sen kepada 11 sen, manakala Jaks Resources tidak berubah pada 15 sen, Zetrix AI susut 0.5 sen kepada enam sen.
Antara kaunter paling untung, United Plantations melonjak 20 sen kepada RM30.80, Hengyuan naik 14 sen kepada RM3.77, Mentiga dan Fraser & Neave menokok 12 sen masing-masing kepada 70 sen dan RM20.28.
Bagi kaunter paling rugi, Samaiden susut 32 sen kepada RM2.75, Solarvest merosot 31 sen kepada RM3.79, Pekat turun 23 sen kepada RM2.68, manakala Northern Solar menguncup 11 sen kepada RM1.07.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 16.75 mata kepada 12,123.49, Indeks FBM Top 100 meningkat 18.68 mata kepada 11,917.14, Indeks FBM Mid 70 merosot 32.60 mata kepada 17,345.39, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 4.45 mata kepada 12,070.02 dan Indeks FBM ACE merosot 45.96 mata kepada 5,439.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 75.64 mata kepada 18,841.81, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.46 mata kepada 180.16, Indeks Perladangan menurun 1.07 mata kepada 8,814.19 dan Indeks Tenaga menguncup 10.14 mata kepada 824.92.- Bernama





