PERTEMBUNGAN antara Sarawak United FC menentang Negeri Sembilan FC pada malam ini menjadi penentu pasukan manakah bakal muncul juara Liga Premier musim ini.
Justeru itu tempoh 90 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur Cheras, 9.00 malam ini menjadi penentu buat kedua-dua pasukan yang berada di tempat pertama dan kedua liga itu diibaratkan bakal menggalas misi hidup dan mati bagi pasukan kendalian E. Elavarasan serta K. Devan musim ini untuk mencipta kejayaan berganda.
Di atas kertas, ia tidak memihak kepada kedua-dua pasukan, kerana mereka masing-masing mempunyai kelebihan dan kali terakhir aksi mereka terikat 1-1 pada pusingan pertama Liga Premier yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, April lalu.
Dengan berbaki dua perlawanan bagi musim ini, Sarawak United masih kekal menduduki tempat teratas carta dengan 37 mata selepas 18 perlawanan setakat ini, kelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan (35 mata).
Jika Sarawak United berjaya mengalahkan Negeri Sembilan pada malam ini, pasukan bimbingan E. Elevarasan itu akan mengumpul sebanyak 40 mata, cukup untuk memusnahkan hasrat skuad K Devan merampas kedudukan pertama Liga Premier daripadannya.
Ini kerana Negeri Sembilan hanya akan berupaya mengumpul 38 mata sekiranya menang perlawanan terakhir nanti menentang PDRM pada 21 September sekiranya mereka tewas kepada Sarawak United malam ini.
Yang pasti, Sarawak United akan berusaha mengutip mata penuh agar mereka tidak perlu risau akan kekangan dari Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan terakhir manakala Negeri Sembilan akan mahu memastikan mereka masih berpeluang memintas Sarawak United di saat-saat getir Liga Premier.
Dalam pada itu, Elavarasan turut menganggap segala kemungkinan boleh berlaku dalam baki dua lagi perlawanan yang boleh menyekat misi mereka untuk menjulang trofi Liga Premier musim ini.
Pasukan bimbingannya itu amat memerlukan kemenangan pada aksi malam ini bagi menoktahkan perebutan kejuaraan liga dan berusaha mengelak daripada mengheret hingga ke perlawanan terakhir liga.
“Kami (Sarawak United) tidak boleh biarkan Negeri Sembilan memintas kami sekiranya pasukan itu menang pada perlawanan malam ini.
“Oleh itu, kami tidak akan membenarkan Negeri Sembilan untuk ambil kesempatan, sebaliknya kami wajib menang bagi memastikan kejuaraan liga berada dalam genggaman.
“Seandainya seri, aksi terakhir menentang JDT II di gelanggang lawan akan menjadi penentuan dan kami akan pastikan ia tidak berlaku kerana menjuarai liga adalah misi utama kami pada musim ini,” kata Elavarasan.
Oleh itu, aksi Sarawak United menentang Negeri Sembilan pada malam ini adalah perlawanan tumpuan peminat bola sepak Malaysia kerana ia boleh menentukan kejuaraan liga bagi musim ini.
Oleh ADI SAFARMAN