Marina terharu sokongan, doa orang ramai buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah

Facebook
WhatsApp
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan surah Yasin dan doa selamat pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Oktober: Anak perempuan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, Datin Paduka Marina Mahathir menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang terus mendoakan ibunya serta menziarahi pusara Allahyarham.

Beliau berkata keluarganya amat terharu dengan keprihatinan orang ramai, termasuk mereka yang datang dari jauh untuk menziarahi pusara ibunya.

DATIN Paduka Marina Mahathir bercakap kepada pemberita selepas Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Foto BERNAMA

“Setiap kali saya pergi ke pusara, saya nampak ramai orang datang…kami sekeluarga memang berterima kasih atas doa dan kedatangan mereka. Saya tahu ada juga yang datang dari jauh.

“Kami semua memang terharu dan berterima kasih atas semua doa itu,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham Dr Siti Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 orang, kebanyakannya bekas warga Yayasan Kepimpinan Perdana.

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan surah Yasin dan doa selamat pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Foto BERNAMA

Turut hadir ialah suami Allahyarham, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama anak yang lain iaitu Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz.

Turut kelihatan bekas Timbalan Menteri Penerangan Tan Sri Khalid Mohd Yunus dan tokoh korporat Tan Sri Azman Hashim.

Marina berkata majlis tahlil dan bacaan doa seumpama itu turut membantu keluarga menghadapi kehilangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 28 September lepas. 

“Masih susah untuk percaya dia sudah tiada…baru dua minggu, tetapi majlis tahlil seperti ini membantu menenangkan hati kami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkara yang paling dirindui pada Allahyarham, Marina berkata beliau merindui segala-galanya mengenai ibunya yang disifatkan sebagai seorang yang sentiasa bertenaga.

“Segala-galanya. Semasa hayatnya beliau seorang sangat bertenaga.  

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan surah Yasin dan doa selamat pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Foto BERNAMA

“Kadangkala saya terasa ingin bertanya sesuatu kepadanya, atau meninggalkan pesanan mengenai sesuatu, atau berkongsi sesuatu dengannya tetapi kemudian saya sedar saya tidak dapat berbuat begitu lagi. Itulah perkara yang paling sukar buat saya,” katanya sebak. 

Dalam perkembangan berkaitan, Marina berkata keadaan bapanya, Tun Dr Mahathir, yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), semakin baik.

Beliau berkata Tun Dr Mahathir semakin sihat, sudah boleh bercakap dan menyatakan keinginannya untuk makan.

“Dia semakin sihat. Dia boleh cakap, dia mahu makan, jadi okeylah. Hampir kembali seperti sebelum ini,” katanya.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat, diikuti solat Zohor serta jamuan tengah hari.- Bernama