KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menggubal peraturan khusus bagi mengekang kegiatan “ulat tiket” atau scalping ticket acara di negara ini.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata penggubalan peraturan itu dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) berikutan ketiadaan peruntukan khusus dalam undang-undang sedia ada bagi menangani kegiatan berkenaan.
Beliau berkata Seksyen 15(1) Akta 723 memberikan kuasa kepada Menteri untuk mewujudkan mekanisme berbentuk peraturan bagi membanteras penjualan semula tiket pada harga yang tinggi dan melampau.
“KPDN sedang mengadakan sesi libat urus dengan penganjur acara serta menjalankan kajian penanda aras bagi mewujudkan kerangka undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah kementerian untuk menangani kegiatan ulat tiket yang semakin berleluasa.
Fuziah berkata kajian itu melibatkan penelitian terhadap undang-undang dan pendekatan yang diguna pakai di beberapa negara, termasuk Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura.
Menurutnya, antara aspek utama yang diberi tumpuan dalam penggubalan peraturan baharu itu ialah penetapan takrifan dan skop scalping yang jelas, kawalan terhadap pembelian tiket secara pukal serta penggunaan identiti pengenalan diri (ID) pada tiket.
Selain itu, kementerian turut meneliti keperluan mewujudkan mekanisme pengiraan pencatutan khusus bagi kegiatan scalping memandangkan peraturan pencatutan sedia ada memerlukan rekod data penjualan selama tiga tahun, sedangkan penganjuran acara lazimnya berlangsung sekali sahaja (one-off).
Menjawab soalan tambahan Mohd Isam mengenai langkah sementara dan jangkaan pelaksanaan peraturan itu, Fuziah berkata usaha advokasi secara berterusan sedang giat dijalankan bagi mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan ulat tiket.
Beliau berkata peraturan baharu itu tidak memerlukan pembentangan di Parlimen, sebaliknya perlu melalui proses pewartaan yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebelum dapat dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang tahun depan. – Bernama




