KUCHING, 13 Oktober: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, Sri Aman dan Lubok Antu akan ditutup sementara esok susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada paras tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan terhadap bacaan IPU setakat 2.00 petang tadi serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara berkenaan mengikut Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) turut dibenarkan melaksanakan Bekerja dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Sementara itu, guru besar dan pengetua sekolah yang terletak berhampiran daerah mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan murid.
JPN Sarawak turut memaklumkan bahawa persediaan pembukaan semula sekolah boleh dilaksanakan sekiranya bacaan IPU menunjukkan trend penurunan kepada paras bawah 150.
Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6) akan diteruskan mengikut jadual ditetapkan.
Maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan pentaksiran dan peperiksaan berkenaan boleh dirujuk menerusi Facebook rasmi JPN Sarawak.
Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU menerusi portal rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS).
JPN Sarawak turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.




