DUN: Chong desak Hansard DUN Sarawak didigitalkan, dibuka kepada umum

Facebook
WhatsApp
CHONG Chieng Jen ketika sidang media selepas membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026, pada persidangan DUN hari ini.

PETRA JAYA, 13 Oktober: Rekod Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi tempoh 159 tahun perlu didigitalkan dan dibuka kepada orang ramai bagi memudahkan akses kepada dokumen sejarah serta perkembangan pembentukan Malaysia.

Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) berkata, rekod rasmi persidangan DUN merupakan sumber sejarah penting yang merakamkan perbahasan mengenai penggubalan undang-undang, dasar kerajaan serta pelbagai perkara berkaitan perjalanan Sarawak.

Beliau berkata, rekod berkenaan sepatutnya dipelihara sebagai sebahagian daripada bahan arkib sejarah negeri, termasuk melalui penubuhan arkib digital yang boleh diakses oleh orang awam.

SPEAKER DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar ketika menegur Chong Chieng Jen ketika Ching membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026, pada persidangan DUN, hari ini.

“Semua rakyat Sarawak berhak mengakses kandungan rekod Hansard kita, dari hari pertama persidangan sehingga hari ini,” katanya ketika sidang media selepas membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026, pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Menurutnya, rekod Hansard bukan sahaja penting untuk memahami sejarah persidangan DUN, malah boleh membantu ahli akademik dan sejarawan menjalankan penyelidikan mengenai peristiwa penting dalam sejarah Sarawak.

Beliau memberikan contoh peristiwa berkaitan penyerahan Sarawak kepada kerajaan British, pembentukan Malaysia serta perbahasan mengenai Akta Pembangunan Petroleum yang menurutnya wajar diteliti melalui rekod rasmi persidangan.

Chong mendakwa, akses orang awam kepada rekod berkenaan masih terhad dan mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Speaker DUN untuk mendapatkan salinannya.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan amalan beberapa badan perundangan lain, termasuk Parlimen Malaysia, Parlimen United Kingdom dan Parlimen Victoria di Australia, yang menyediakan rekod perbahasan mereka melalui platform dalam talian.

Katanya, akses terbuka kepada rekod berkenaan akan memudahkan penyelidikan dan membolehkan orang ramai meneliti sendiri perkara yang dibahaskan serta direkodkan dalam persidangan DUN.

Terdahulu, ketika perbahasan RUU berkenaan, Chong membangkitkan keperluan memasukkan rekod Hansard sebagai sebahagian daripada bahan yang boleh dipelihara menerusi cadangan arkib peringatan.

Bagaimanapun, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar tidak membenarkan beliau meneruskan perkara itu, atas sebab perbahasan perlu kekal dalam skop RUU yang sedang dibincangkan.

Chong kemudian meneruskan hujahnya kepada media selepas persidangan, dengan menegaskan bahawa rekod rasmi berkenaan perlu dipelihara dan boleh diakses oleh generasi akan datang.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan pewujudan arkib digital yang merangkumi rekod Hansard bagi memastikan dokumen sejarah berkenaan dapat dipelihara serta dimanfaatkan oleh masyarakat.

Oleh Shahrul Qaizat