Insiden Riyadh: Jadual penerbangan umrah kekal, agensi terus pantau perkembangan di Riyadh

Facebook
WhatsApp
AGENSI umrah terus memantau perkembangan di Riyadh.

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Agensi pelancongan umrah tempatan terus memantau perkembangan situasi di Riyadh, Arab Saudi, serta status penerbangan ke Jeddah dan Madinah bagi memastikan keselamatan jemaah Malaysia yang dijadualkan menunaikan ibadah umrah.

Pengasas Dai Aiman Travel Sdn Bhd Aiman Sufyan Aezman berkata pihaknya telah menghubungi syarikat penerbangan AirAsia dan dimaklumkan setakat ini tiada perubahan jadual penerbangan.

“Pihak agensi akan terus menunggu arahan daripada kerajaan Malaysia, pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi dan syarikat penerbangan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Kalau mereka beri arahan untuk kekal di sesuatu lokasi dan tidak ke mana-mana, kita akan ikut arahan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Aiman Sufyan turut menasihati jemaah supaya tidak panik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang tersebar menerusi media sosial, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Urusan Al Hijjrah Vacation Sdn Bhd Mohd Azri Abd Razak berkata setakat maklumat yang diterima pihaknya, penerbangan Saudi Airlines tidak mengalami pembatalan manakala penerbangan lain turut beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat syarikat penerbangan tertentu seperti Malaysia Airlines yang menangguhkan perjalanan susulan perkembangan semasa di rantau berkenaan.

“Pihak kami mengelakkan perjalanan ke kawasan yang terlibat dalam konflik bagi mengurangkan risiko keselamatan terhadap jemaah,” katanya.

Mohd Azri berkata bakal jemaah yang merancang menunaikan umrah dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini daripada agensi masing-masing serta mempertimbangkan perkembangan keselamatan sebelum membuat keputusan perjalanan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kembara Fitrah Travel & Tours Sdn Bhd Mejar (B) Zainuddin Mahram berkata jadual penerbangan jemaah kendalian agensi itu ke Jeddah dan Madinah masih mengikut perancangan asal dan belum ditangguhkan.

“Pihak agensi sentiasa mengemas kini perkembangan semasa kepada jemaah selain mendapatkan maklumat terkini daripada Konsulat Malaysia di Arab Saudi berhubung situasi keselamatan di negara itu,” katanya.

Menurut Zainuddin, keadaan di Makkah dan Madinah dilaporkan tenang manakala insiden yang menjadi perhatian berlaku di Riyadh, jauh dari kedua-dua bandar berkenaan.

“Walau apa pun yang berlaku, ibadah umrah adalah panggilan dan sekiranya kita dipanggil ke sini, kita pasti akan sampai dalam apa jua situasi. Insya-Allah, Makkah dan Madinah bumi yang selamat dan berkat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan menunaikan ibadah umrah buat sementara waktu susulan risiko keselamatan insiden itu. – Bernama