NIF2027 sasar 1,000 perwakilan, perkukuh pertumbuhan inklusif

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika bercakap pada sidang media pengenalan NIF2027 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA, 13 Oktober: Forum Antarabangsa NAWEM mengenai Pertumbuhan Inklusif 2027 (NIF2027) menyasarkan penyertaan kira-kira 1,000 perwakilan dari dalam dan luar negara pada 27 hingga 29 Januari 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya bersama agensi di bawahnya, termasuk Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, menyokong penganjuran forum berkenaan.

Beliau berkata, usaha memperkasakan wanita perlu memberi perhatian kepada golongan B40, ibu tunggal, wanita yang menjadi pencari nafkah keluarga serta mereka yang sedang mengikuti latihan kemahiran untuk menjana pendapatan.

BARISAN penganjur dan wakil agensi bergambar bersama pada sidang media pengenalan NIF2027 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Menurutnya, golongan kurang bernasib baik, termasuk bekas banduan, juga perlu diberi peluang membina kehidupan melalui kegiatan perniagaan menerusi inisiatif seperti Pemerkasaan Golongan Berpendapatan Rendah (LInE).

Fatimah turut menekankan kepentingan pendidikan dan mengingatkan bahawa anak-anak tidak seharusnya berhenti sekolah walaupun berdepan kesusahan hidup.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengenalan NIF2027 di Kompleks Dewan Undangan Negeri, hari ini.

NIF2027 dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) dengan kerjasama Tanoti Sdn Bhd, serta mendapat sokongan kementerian berkenaan dan Business Events Sarawak.

Forum itu dijangka menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, usahawan, wakil agensi kerajaan, persatuan profesional, pertubuhan masyarakat sivil, perusahaan sosial dan wakil komuniti.

Dalam sesi soal jawab bersama media, antara cabaran yang dibangkitkan berkaitan usahawan wanita di Sarawak termasuk pola pemikiran, akses kepada maklumat, bantuan geran dan kewangan, pendedahan perniagaan serta penyesuaian terhadap ekonomi digital.

DATO Sri Fatimah Abdullah menyampaikan ucapan pada sidang media pengenalan NIF2027 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Perbincangan turut menyentuh penglibatan jaringan antarabangsa, termasuk Perikatan Perniagaan Wanita BRICS (BRICS-WBA) dan Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN), bagi memperluas pendedahan global kepada usahawan tempatan.

Sidang media itu dihadiri Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tanoti Sdn Bhd merangkap Pengerusi Pengelola NIF2027, Datuk Jacqueline Fong; Pengerusi NAWEM Kuching, Dr Dianne Tsen Shoon Cheen; Ketua Pegawai Eksekutif Acara Perniagaan Sarawak, Jason Tan.

Selain itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Eric Chuo, yang mewakili Ketua Pegawai Operasi pusat berkenaan, David Bareng di Kompleks Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud