PETRA JAYA, 13 Oktober: Rang Undang Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dicadangkan bagi memperkukuh tadbir urus, fungsi dan pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak agar terus relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pindaan itu bertujuan menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas bagi membolehkan institusi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan.
Menurutnya, peranan perpustakaan negeri kini bukan sekadar menyediakan bahan bacaan, malah turut merangkumi pemeliharaan rekod awam, arkib serta sejarah dan memori kolektif Sarawak untuk generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan pada sidang DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Antara perkara utama yang dicadangkan dalam pindaan itu ialah memperjelas kuasa dan tanggungjawab menteri yang bertanggungjawab terhadap Perpustakaan Negeri Sarawak, termasuk kuasa memberikan arahan kepada Lembaga Perpustakaan Negeri dalam melaksanakan fungsi serta tanggungjawabnya.
Pindaan itu turut membolehkan Perpustakaan Negeri Sarawak menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib peringatan bagi memelihara bahan berkaitan tokoh, peristiwa penting serta sejarah dan budaya negeri.
Inisiatif itu penting bagi memastikan dokumen, rekod, barangan peribadi dan bahan sejarah yang mempunyai nilai kepada Sarawak dapat dipelihara serta dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Selain itu, rang undang-undang berkenaan mencadangkan penyusunan semula bidang kuasa berkaitan tadbir urus perpustakaan, termasuk pembahagian tanggungjawab antara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menteri dan lembaga perpustakaan.
Cadangan pindaan turut merangkumi kaedah peletakhakan harta kerajaan untuk kegunaan perpustakaan serta pemberian kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk meminda jadual dalam Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999 melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan.
Roland Sagah berkata, pindaan itu akan menyediakan asas perundangan yang lebih sesuai dengan perkembangan fungsi perpustakaan, di samping memperkukuh akauntabiliti dan meningkatkan kecekapan pentadbirannya.
Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan rekod, khazanah ilmu dan sejarah Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Oleh Shikin Mahmud





