Penerbangan Batik Air, Miri-Subang bermula 1 Disember

Facebook
WhatsApp
PERTEMUAN...Ahli Parlimen Miri merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy.

MIRI, 12 Oktober: Penduduk Miri bakal menikmati lebih banyak pilihan perjalanan udara ke Lembah Klang apabila laluan penerbangan baharu yang menghubungkan Miri dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dijadualkan beroperasi mulai 1 Disember ini.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, perkhidmatan itu dijangka memudahkan perjalanan penduduk bagi urusan pekerjaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan keluarga.

Menurutnya, pembukaan laluan berkenaan merupakan perkembangan positif kerana dapat menambah pilihan pengangkutan udara bagi masyarakat setempat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan pihak Batik Air bagi membincangkan potensi pembukaan laluan penerbangan berkenaan.

“Perkembangan ini merupakan berita baik buat masyarakat Miri kerana menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan udara dan memudahkan pergerakan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Chiew berkata, lokasi Lapangan Terbang Subang yang lebih dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur bagi sesetengah destinasi juga berpotensi memudahkan perjalanan darat penumpang selepas tiba.

Menurutnya, perkhidmatan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk, malah berpotensi memperkukuh hubungan Miri dengan pusat ekonomi utama negara serta merancakkan sektor perniagaan dan pelancongan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Batik Air dan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan perkhidmatan itu.

Beliau berharap laluan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan dapat dikekalkan untuk manfaat penduduk serta pelancong.

Oleh Liong Chai Ling