170 penyertaan meriahkan Kejohanan Memanah Kamus 2026

Facebook
WhatsApp
PESERTA mengambil anak panah pada sasaran selepas tamat sesi memanah sempena Kejohanan Memanah Kamus 2026 Edisi Ketiga anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) di Bintulu. Foto Facebook UPMS

BINTULU, 12 Oktober: Sebanyak 170 penyertaan direkodkan pada Kejohanan Memanah sempena Karnival Muzik dan Sukan (Kamus 2026) Edisi Ketiga anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.

Kejohanan itu mempertandingkan lapan kategori, merangkumi kategori Tradisional Terbuka, Recurve Terbuka, Recurve Sekolah Menengah Bawah 15 Tahun (U15) dan Recurve Sekolah Rendah Bawah 12 Tahun (U12), masing-masing bagi peserta lelaki dan wanita.

Bagi kategori Tradisional Terbuka Lelaki, Kamarul Shazman dari Teku-teku Sibu muncul sebagai juara, manakala Nur Atikah dari kelab yang sama menjuarai kategori wanita.

PESERTA meneliti kedudukan anak panah pada sasaran ketika menyertai Kejohanan Memanah Kamus 2026 Edisi Ketiga di Bintulu. Foto Facebook UPMS

Leo Liew Kian Rui dari Pemasas Sibu menjuarai kategori Recurve Terbuka Lelaki, sementara Twinklebelle Shamin dari Kuching Indoor Archery Academy muncul juara kategori wanita.

Kategori Recurve Sekolah Menengah U15 Lelaki dimenangi Kelvin Tiong Meng Ching dari Pemasas Sibu, manakala Fatin Nurqalesya Amani Fakhruldin dari Perfect Shot Club menjuarai kategori wanita.

Felix Fernandez Dennis dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru muncul juara kategori Recurve Sekolah Rendah U12 Lelaki, sementara Nur Qystyna Shafieya Norhaizad dari SK Jalan Bintang menjuarai kategori wanita.

PESERTA mengambil posisi untuk membidik sasaran pada Kejohanan Memanah Kamus 2026 Edisi Ketiga yang berlangsung selama dua hari di Bintulu. Foto Facebook UPMS

Kejohanan itu dikendalikan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2108 Memanah, Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027 dengan kerjasama Persatuan Memanah Bahagian Bintulu.

Penganjuran berkenaan bukan sahaja menyediakan platform persaingan sihat, malah mengeratkan hubungan antara mahasiswa, atlet muda dan komuniti setempat, selain menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah.

Menurut kenyataan UPMS, kejohanan itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai serta penganjuran yang lebih besar dan kompetitif bagi melahirkan pemanah berpotensi yang mampu mengharumkan nama negara.

Oleh Carolyne Utih