MIRI, 12 Oktober: Pertubuhan Penyayang Bandaraya Miri (MCCS) merayu bantuan orang ramai untuk mengesan waris mendiang Sii Tuong Hung yang meninggal dunia di Hospital Miri pada 25 September lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCCS memaklumkan bahawa mendiang, yang alamat terakhirnya berdaftar di Tanjung Kunyit, Sibu, masih belum dituntut oleh ahli keluarganya.
Menurut kenyataan itu, mendiang dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Miri pada 18 September selepas ditemui mengalami kesukaran bernafas berhampiran sebuah medan selera di bandar raya ini.
Bagaimanapun, usaha pihak hospital dan polis untuk mengesan waris mendiang di Miri dan Sibu masih belum berhasil.
Sehubungan itu, waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mendiang diminta menghubungi Philip Kiew daripada MCCS menerusi talian 019-884 7726 bagi membantu menguruskan pengebumian mendiang.
Oleh Liong Chai Ling




