CYBERJAYA, 12 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan imej Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang disunting dengan unsur penghinaan di platform media sosial Threads.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menghubungi Meta selaku penyedia platform Threads berhubung penyebaran kandungan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kandungan terbabit telah diturunkan, manakala akaun yang terlibat turut disekat daripada diakses.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak penyedia platform bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan garis panduan komuniti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan tindakan lanjut boleh diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik atau menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi mengelakkan penyebarannya terus meluas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menggunakan fungsi pelaporan di platform Threads, Portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.





