Pembangunan sebenar bermula daripada rakyat berjati diri kukuh

Facebook
WhatsApp
PENGHULU William Tandang berucap mewakili Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

SARIKEI, 12 Oktober: Pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan pembentukan masyarakat yang memiliki jati diri kukuh, berilmu dan memahami tanggungjawab terhadap negara.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan insan merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdaya maju dan mampu menyumbang kepada kemajuan kawasan masing-masing.

Katanya, pembinaan jalan raya, bangunan dan kemudahan fizikal perlu diseimbangkan dengan usaha memperkukuh kesedaran sivik, nilai kekeluargaan serta kepimpinan dalam kalangan rakyat.

“Pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja diukur melalui jalan raya, bangunan atau kemudahan fizikal yang dibina.

“Pembangunan yang sebenar bermula daripada insan, iaitu rakyat yang mempunyai jati diri yang kukuh, memahami tanggungjawab sebagai warganegara, serta berani tampil memimpin dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu William Tandang sempena Majlis Penutupan Program Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan (Asas Jati Diri dan Kesejahteraan Keluarga) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sarikei di Rumah Lingga, Selangan, baru-baru ini.

ANTARA yang hadir di Majlis Penutupan Program Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan (Asas Jati Diri dan Kesejahteraan Keluarga). Foto Pusat Khidmat DUN Repok

Tambahnya, program kesedaran sivik dan kenegaraan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap hak serta tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa komited untuk memperkasakan rakyat dalam semua aspek kehidupan.

“Bagi saya, ini bukan hanya melalui pembangunan infrastruktur, tetapi juga melalui pembinaan ilmu, kesedaran dan keyakinan diri.

“Apabila rakyat memahami hak dan tanggungjawab, menghargai nilai kekeluargaan dan mempunyai semangat kepimpinan, mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan sendiri, tetapi juga menjadi penggerak kepada kemajuan masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.

Katanya, pembangunan masyarakat yang menyeluruh turut memerlukan penghayatan nilai kasih sayang terhadap komuniti dan semangat cintakan negara.

“Kasih kepada masyarakat bermaksud kita sanggup meluangkan masa, tenaga dan fikiran demi kebaikan bersama.

“Cinta kepada negara pula bermaksud kita menghargai keamanan, perpaduan dan kemajuan yang dicapai, serta bersedia memikul tanggungjawab untuk memeliharanya.

“Dua nilai inilah yang menjadi teras kepada masyarakat yang bersatu padu, saling membantu dan berpandangan jauh ke hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong program yang memperkukuh jati diri dan memupuk perpaduan.

“Dengan sokongan dan komitmen yang berterusan, program seperti ini dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat di setiap kawasan, termasuk Sarikei,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek