KAPIT, 11 Oktober: Projek pembinaan baharu jeti besi Rumah (Rh) Naga, Sungai Bena Sut, bernilai RM210,000 siap dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan sungai untuk penduduk setempat.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu diharap dapat menyediakan akses pengangkutan sungai yang lebih selamat dan selesa.
“Ini khususnya kepada penduduk yang bergantung kepada laluan sungai dalam urusan harian,” katanya semasa berucap merasmikan jeti berkenaan sempena Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) di Rh Naga, Nanga Merating, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta berkata, pembangunan luar bandar bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah turut memastikan kesejahteraan dan keperluan masyarakat setempat diberikan perhatian sewajarnya.
“Kerjasama erat antara wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Setiausaha Politik penting bagi menyelaraskan pelaksanaan pembangunan supaya manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Nanta turut menggalakkan penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai cadangan projek pembangunan supaya mengemukakan permohonan secara bertulis atau hadir terus ke pejabatnya untuk diberikan perhatian sewajarnya.
Pada majlis itu, Nanta turut mengumumkan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) bernilai RM200,000 di bawah peruntukan Parlimen P.215 Kapit bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung dapur Rumah Naga.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober itu menghimpunkan penduduk menerusi pelbagai aktiviti, termasuk sukan rakyat, gotong-royong, demonstrasi kraftangan, pameran serta ceramah kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan.
Oleh Akun Giman




