PETRA JAYA, 12 Oktober: Hasil kerajaan Sarawak bagi 2026 diunjur mencecah RM13.571 bilion, meningkat RM552 juta atau empat peratus berbanding anggaran asal RM13.049 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sehingga September tahun ini, kutipan hasil negeri berjumlah RM10.732 bilion, bersamaan 82 peratus daripada sasaran tahunan.
Beliau berkata, peningkatan unjuran itu didorong terutamanya oleh semakan semula geran khas daripada kerajaan Persekutuan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, berkuat kuasa tahun ini.

Tiga penyumbang utama hasil negeri sehingga September ialah Cukai Jualan Negeri berjumlah RM3.941 bilion, khususnya daripada produk petroleum dan minyak sawit mentah, diikuti pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.334 bilion serta pendapatan dividen berjumlah RM2.147 bilion.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini
Sementara itu, perbelanjaan mengurus bagi 2026 disemak meningkat kepada RM14.348 bilion berbanding anggaran asal RM12.905 bilion, iaitu pertambahan RM1.443 bilion atau 11.2 peratus.
Sehingga September, sebanyak RM9.434 bilion atau 66 peratus daripada peruntukan perbelanjaan mengurus telah dibelanjakan, merangkumi RM3.959 bilion bagi perbelanjaan operasi dan RM5.475 bilion untuk Kumpulan Wang Berkanun.
Mengulas lanjut, bagi perbelanjaan pembangunan pula RM5.604 bilion atau 58 peratus daripada peruntukan RM9.663 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh sama.
Abang Johari berkata, perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat lagi menjelang akhir tahun susulan pelaksanaan projek yang semakin rancak.
Oleh Shikin Mahmud




