PETRA JAYA, 12 Oktober: Kira-kira 716,000 pengguna domestik di Sarawak bakal menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus sepanjang 2027, menerusi langkah kerajaan negeri untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup isi rumah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan bersasar bagi melindungi pendapatan boleh guna rakyat daripada peningkatan kos kehidupan.
“Bagi melindungi pendapatan boleh guna rakyat daripada peningkatan kos sara hidup, saya berbesar hati mengumumkan kesinambungan langkah bantuan bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Diskaun bil elektrik itu akan berkuat kuasa dari Januari hingga Disember 2027, dengan implikasi kewangan berjumlah RM281 juta.

Selain bantuan elektrik, kerajaan negeri turut menyediakan subsidi RM5 sebulan bagi bil air menerusi program air percuma yang dijangka memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik, dengan implikasi kewangan sebanyak RM35 juta.
Menurut beliau, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial supaya rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, terus mendapat sokongan dalam menghadapi peningkatan perbelanjaan harian.
“Kekuatan sesebuah masyarakat bukan diukur berdasarkan kekayaan segelintir pihak, tetapi melalui jaminan kehidupan yang diberikan kepada sebahagian besar rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited untuk melindungi golongan rentan, memperkasa keluarga dan memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada arus pembangunan.
Di bawah Belanjawan 2027, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang menyediakan bantuan RM1,100 kepada isi rumah kumpulan B40, RM600 kepada warga emas dan RM375 kepada individu bujang yang layak.
Dalam usaha mengurangkan kos pengangkutan, kerajaan negeri turut meneruskan subsidi tambang bas dengan kadar RM1 bagi setiap perjalanan serta pas bulanan tanpa had berharga RM30. Sebanyak RM8.5 juta disediakan untuk tujuan itu.
Sementara itu, manfaat kesihatan warga emas diteruskan dengan peruntukan RM50 juta, membolehkan penerima yang layak menikmati rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 seorang setahun bagi isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah.
Pelbagai bentuk bantuan itu mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang menggabungkan bantuan kewangan secara langsung dengan sokongan terhadap keperluan asas, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.
Oleh Shahrul Qaizat




