PRS Baleh sebulat suara sokong Nicholas Kudi pertahan kerusi DUN

Facebook
WhatsApp
BARISAN kepimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Baleh merakamkan gambar kenangan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian N.64 Baleh 2026 di sebuah hotel di Kapit, semalam.

KAPIT, 12 Oktober: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Baleh sebulat suara menyokong pencalonan semula penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Sokongan itu merupakan antara enam resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian N.64 Baleh 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut menyatakan sokongan penuh kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menerajui kerajaan negeri, serta Presiden PRS John Sikie Tayai untuk memimpin parti berkenaan.

Selain itu, PRS Bahagian Baleh turut menegaskan sokongan terhadap kepimpinan pengerusinya, Wilson Ugak Kumbong, yang juga Timbalan Menteri Digital dan Ahli Parlimen Hulu Rajang.

Mesyuarat itu dipengerusikan Wilson dan dihadiri Nicholas, yang juga Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Baleh, bersama barisan kepimpinan parti di peringkat bahagian serta wakil pergerakan Wanita dan Pemuda.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut membangkitkan isu keselamatan di tapak pembinaan Projek Hidroelektrik Baleh.

Menerusi resolusi yang diluluskan, PRS Bahagian Baleh menggesa Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan keharmonian di kawasan projek berkenaan.

Mesyuarat itu juga menekankan keperluan meneruskan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya pembinaan jalan raya bagi memudahkan perhubungan serta meningkatkan akses penduduk setempat.

Kesemua enam resolusi itu dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa induk PRS Bahagian Baleh serta pergerakan Wanita dan Pemuda parti berkenaan.

Oleh Tarani Lanting