KUCHING, 11 Oktober: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan hari lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 150 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, melibatkan 26 lelaki dan 124 wanita yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta kanak-kanak.
Sumbangan wang tunai kepada penerima ditaja oleh Astana Negeri Sarawak, manakala beras dan hamper disumbangkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta Bintulu Port Holdings.

Antara pengisian majlis ialah persembahan tarian oleh Majlis Seni Sarawak, tayangan video kapsul bertajuk Bukan Sekadar Seorang Pemimpin dan persembahan artis tempatan, termasuk Bob Yusof, Abang Hafidz serta Miey Sanisha.
Majlis mencapai kemuncaknya apabila Tun Wan Junaidi, Premier Sarawak dan tetamu kehormat bersama-sama menyanyikan lagu Masihkah Kau Ingat dan Yale-Yale.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Menteri Bertanggungjawab Mengelola Sambutan, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Hadir sama barisan kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.




