Minat belia terhadap motosikal perlu dibimbing, utamakan keselamatan – Ahmad Ibrahim

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim bergambar bersama peserta selepas Majlis Penutupan Program Rakan Litar: Hari Litar Motosikal Kapcai Negeri Sarawak 2026.

KUCHING, 11 Oktober: Minat golongan belia terhadap sukan permotoran perlu disalurkan melalui program dan latihan yang teratur bagi mengembangkan bakat mereka tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, berkata sukan permotoran bukan sekadar menguji kemahiran tunggangan, malah menuntut disiplin, tumpuan dan pematuhan terhadap peraturan keselamatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rakan Litar: Hari Litar Motosikal Kapcai Negeri Sarawak 2026 di perkarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang Program Rakan Litar: Hari Litar Motosikal Kapcai Negeri Sarawak 2026.

Menurutnya, program seumpama itu menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan minat, mempelajari teknik tunggangan yang betul serta memahami tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Beliau turut mengingatkan golongan belia supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba kerana perbuatan itu boleh mengancam nyawa sendiri dan orang lain.

“Jika mahu menguji kemahiran, lakukanlah di tempat yang dibenarkan melalui program yang teratur dan di bawah pengawasan. Ingatlah, keluarga menunggu kita pulang,” katanya.

LITAR perlumbaan sementara yang dibina di kawasan tempat letak kereta Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching, menampilkan lapan selekoh utama bagi menguji kemahiran dan kecekapan peserta dalam acara sukan permotoran motosikal kapcai.

Ahmad berkata, pembangunan sukan permotoran juga berpotensi membuka peluang kepada belia untuk mempelajari kemahiran teknikal, termasuk penyelenggaraan dan mekanik motosikal, yang boleh dimanfaatkan bagi mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara jabatan, persatuan dan kelab sukan permotoran dapat diteruskan bagi menyediakan lebih banyak peluang latihan, mengenal pasti bakat baharu serta membentuk budaya sukan permotoran yang sihat di Sarawak.

Beliau turut menyifatkan sukan permotoran sebagai wadah untuk mengeratkan persahabatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan belia daripada pelbagai latar belakang.

HEBAHAN program.

Ahmad merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak, Kelab Sukan Permotoran D1, jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan berharap mereka dapat memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh, selain menjadi contoh penunggang yang berdisiplin kepada rakan sebaya.

Oleh Afiq Sallehi