BINTANGOR, 11 Oktober: Seramai 92 warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong menyertai aktiviti zumba sempena sambutan Hari Sukan Negara 2026 sebagai usaha membudayakan gaya hidup aktif dan meningkatkan tahap kecergasan dalam kalangan anggota serta kakitangan polis.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, program yang berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Meradong pada semalam turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga pasukan.
Katanya, penyertaan program merangkumi Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).
“Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara 2026, malah menggalakkan seluruh warga IPD Meradong supaya sentiasa mengutamakan kecergasan fizikal dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pada masa sama, aktiviti secara berkumpulan seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan anggota dan kakitangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, program kecergasan tersebut dikendalikan jurulatih zumba, Faye Robolaungia Raraifiu, yang membimbing peserta menerusi beberapa sesi senaman mengikut tahap intensiti berbeza.
“Aktiviti dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum diteruskan dengan senaman kardio, sesi riadah santai dan regangan.
“Pengisian program disusun bagi memastikan peserta dapat melakukan aktiviti fizikal secara menyeronokkan, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan diri,” katanya.
Tambahnya, amalan bersukan dan melakukan aktiviti kecergasan secara konsisten penting bagi membantu mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan warga pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab harian.
“Diharapkan sambutan Hari Sukan Negara ini dapat menyemai budaya hidup aktif dan sihat secara berterusan dalam kalangan warga IPD Meradong, selaras dengan aspirasi nasional untuk melahirkan masyarakat yang cergas dan sejahtera,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





